mutakhir

14 premis tak ikut SOP diarah tutup

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebanyak 14 premis diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru kerana tidak mematuhi peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa 13 Januari lalu.

Datuk Bandarnya, Datuk Adib Azhari Daud berkata, dalam tempoh sama 40 premis lain diberi notis pemberitahuan.

Katanya pemeriksaan dibuat membabitkan 7,109 premis perniagaan, pasar raya, pejabat, penjaja, rumah ibadat dan tempat riadah dalam kawasan MBJB.

Antara kesalahan premis yang diarah tutup termasuk beroperasi lebih waktu dari tempoh dibenarkan dan ada juga premis masih beroperasi walau pun tidak dibenarkan berbuat demikian pada waktu PKP.

"Manakala 40 premis yang diberi notis pemberitahuan melakukan kesalahan kerana tiada lesen perniagaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Adib Azhari berkata, jumlah kutipan hasil MBJB tahun lalu merosot sebanyak sembilan peratus berbanding 2019.

Katanya RM403.27 juta dikutip pada 2020 berbanding RM443.99 juta pada 2019.

"Kutipan hasil cukai merosot pada tahun lalu sebanyak lima peratus berbanding tahun 2019 iaitu RM293.37 juta dikutip pada 2020 berbanding RM309.06 juta yang dikutip pada tahun 2019.

"Manakala hasil bukan cukai yang melibatkan kutipan sewa, lesen serta kompaun menurun sebanyak 28 peratus pada 2020 berbanding tahun 2019 iaitu RM 76.4 juta dikutip berbanding RM 105.94 juta dikutip pada tahun 2019," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 12:21pm
d