mutakhir

Tidak mengaku merusuh, cederakan polis, buat khianat [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pengumpul besi buruk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan merusuh di balai polis, mencederakan anggota dan melakukan khianat awam pada Ahad lalu.

Tertuduh Arnee Ahamad Pazir, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkelakuan rusuh di Pejabat Enkuiri Balai Polis Lahat, di sini pada 11.40 pagi, 24 Januari 2021, yang mana kesalahan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang menetapkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu merosakkan pintu cermin Balai Polis Lahat yang anggaran kerugian RM380 di tempat dan masa serta tarikh sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara pertuduhan ketiga, Arnee dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis Mohamad Anuar Mohd Noor, 29, dengan memukul kepalanya dengan topi keledar di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang sabit kesalagan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad, manakala tertuduh diwakili peguam S Ranjit Singh.

Terdahulu, Ranjit merayu anak guamnya ditawar jaminan RM3,000 bagi semua pertuduhan mengambil kira pendapatan tertuduh hanya RM30 sehari selain, mendakwa kejadian berlaku disebabkan salah faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 12:36pm
d