mutakhir

Datuk tidak mengaku guna jawatan rasuah untuk adik [METROTV]

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Seorang ketua jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berpangkat 'Datuk' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik perempuannya, lima tahun lalu.

Datuk Nizam Sahari, 54, sebagai Ketua Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Nizam menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk adiknya Zaiton Sahari, 50, iaitu kelulusan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembinaan satu blok bangunan perniagaan dua hingga tiga tingkat, mengandungi empat unit kedai pejabat di Kajang atas nama syarikat Tetuan Permata Cerah Sdn Bhd, yang dimiliki wanita berkenaan.

Dia dituduh membentangkan permohonan kebenaran merancang pembinaan bangunan itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj Bil 5/2016, dan mengeluarkan Borang C(1) iaitu Kebenaran Merancang kepada syarikat terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih 1, Tingkat 7, MPKj pada 14 Mac 2016, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Tertuduh yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan, bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan pendakwa raya.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 1:03pm
d