mutakhir

Pegawai Bomba dituduh rasuah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan RM1,800 bagi urusan permohonan lesen perniagaan, dua tahun lalu.

Md Azli Johar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Md Azli didakwa memperoleh wang itu daripada seorang wanita supaya memberi maklum balas terhadap permohonan lesen perniagaan syarikat milik wanita berkenaan.

Md Azli didakwa melakukan kesalahan itu di Pekan Gemencheh, Tampin pada 11 pagi, 22 Okt 2019 dan pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam M Sivam.

Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahnya menyerahkan passport (jika ada) kepada SPRM Negeri Sembilan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mac 2021.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 1:40pm
d