mutakhir

Kaji punca feri langgar kapal

Oleh Mohd Roji Kawi

Miri: Siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dan Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS) bagi mengenal pasti punca perlanggaran feri dan kapal di Sungai Ridan, Marudi, semalam.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sepasukan pegawai LSS dan JLWS sudah pergi ke lokasi kejadian itu hari ini bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, siasatan penuh akan dilaksanakan dengan mengambil keterangan kapten kapal, pemeriksaan lesen, prestasi mesin serta kerosakan yang dialami.

"Keterangan daripada saksi terutama orang awam atau pemilik kenderaan yang menaiki feri berkenaan juga akan diambil bagi melengkapkan siasatan untuk kita mengetahui punca kejadian itu.

"Kita melihat kejadian itu serius walaupun tidak menyebabkan kecederaan serta tiada tumpahan minyak berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, terdapat beberapa kenderaan menaiki feri berkenaan untuk menyeberangi Sungai Ridan.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di feri Agelina 2 mendapati feri itu terlanggar bahagian sisi kapal Linau 22.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 3:37pm
d