mutakhir

Beli pistol RM2,500 untuk perlindungan [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang pengedar dadah memiliki sepucuk pistol yang dibeli daripada individu dari Thailand sejak 2018 dan mendakwa ia digunakan bagi melindungi dirinya.

Lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Panglima Batu Karang di sini, pada 10.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menemui pistol terbabit yang berwarna perak di dalam beg pinggang suspek bersama tujuh peluru hidup bersaiz sembilan milimeter dalam kelopak pistol.

"Sebutir lagi peluru ditemui dalam 'chamber'. Pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu pula menemui botol kaca di atas katil berisi empat plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah.

"Dalam siasatan, suspek mengaku pistol dimiliki sejak 2018 yang dibeli daripada individu dikenali sebagai 'Abang' dari Thailand, dengan harga RM2,500 di pangkalan haram Jambu, Rantau Panjang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, di sini hari ini.

Shafien berkata, suspek juga aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak 2017 dan disenaraikan sebagai individu buruan polis.

"Dia direman mulai hari ini hingga 1 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 selain Akta Dadah Berbahaya," katanya yang memberitahu suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah selain ujian air kencingnya positif dadah jenis Methamphetamine.

Dalam pada itu, seorang lelaki 37 tahun turut ditahan anggota Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA9) kerana memiliki 17 gram dadah jenis syabu, 140 biji pil kuda serta senapang angin buatan sendiri ketika serbuan di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang, kelmarin.

Menurutnya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau ditahan reman empat hari sehingga 29 Januari.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 5:43pm
d