mutakhir

Ramai lega harga bawang turun

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: "Sebelum ini, harga bagi sekarung bawang besar seberat sembilan kilogram adalah RM52. Namun sejak dua hari lalu, harganya jatuh semula kepada RM21 (sekarung)," ujar peniaga Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 56.

Menurutnya, ketika harga borong bawang naik mendadak, dia terpaksa menjual bawang pada harga tinggi selain terpaksa menjelaskan isu itu kepada pelanggan.

"Saya terpaksa menaikkan harga bawang besar antara RM7 hingga RM8 sekilogram sebelum ini berikutan harga tinggi yang ditetapkan pembekal.

"Namun kini harga bawang sudah turun mendadak kepada hanya RM4.50 sekilogram.

"Kenaikan dan penurunan harga bawang bergantung kepada pemborong yang juga amat terkesan dengan harga yang ditawarkan pengimport," katanya yang membuka kedai runcit di Kampung Solok Duku, di sini.

Sementara itu pengguna, Nadzri Mansor, 47, berkata, dia agak terkejut apabila mendapati harga bawang besar hari ini hanya RM4.50 sekilogram berbanding antara RM7 hingga RM8 sebelum ini.

"Alhamdulillah, harga sudah turun dan saya boleh membeli lebih daripada sekilogram berbanding hanya setengah kilogram sebelum ini berikutan harganya yang tinggi," katanya tadi.

Kelmarin Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, bekalan dan harga bawang kembali stabil serta mencukupi hingga Ogos depan.

Ini kerana pembekal bawang dari India mula mengeksport bekalan ke luar negara, khususnya ke negara ini selepas negara itu pulih daripada banjir baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini Malaysia terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana ada arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang.

Bekalan bawang negara diimport dari 24 negara dengan lima daripadanya adalah pengeksport terbesar, iaitu India (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (enam peratus ), New Zealand (tiga peratus) dan lain-lain (empat peratus).

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 6:22pm
d