mutakhir

Tiada perarakan Thaipusam di Sungai Petani

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Tiada sambutan atau perarakan di Kuil Subramaniya Swami Devastanam dilakukan di sini malam tadi malah tahap pematuhan prosedur operasi standart (SOP) dalam keadaan memuaskan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemantauan beliau bersama pegawai dan anggotanya di kawasan itu mendapati, tiada sambutan atau perarakan dilakukan ketika sambutan Thaipusam kali ini.

Beliau berkata, sebelum ini kuil itu menerima kunjungan lebih 300,000 pengunjung selama tiga hari upacara keagamaan berlangsung.

"Ini jelas menunjukkan pihak pengurusan kuil akur dengan arahan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tidak menganjurkan sebarang aktiviti atau upacara keramaian dan hanya lima orang saja dibenarkan berada di kuil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Hanya lima orang dibenarkan berada di sini iaitu ahli jawatankuasa dan pengurusan kuil," katanya pada sidang media di kuil itu, malam tadi.

Adzli berkata, pihaknya sudah membuat perjumpaan lebih awal dengan pihak kuil di sini dan memaklumkan SOP yang perlu dipatuhi dan mendapat kerjasama baik dan mereka patuh pada arahan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihak kuil turut meletakkan notis di hadapan kuil selain memaklumkan perkara ini kepada penganut agama mereka melalui laman sosial Facebook (FB), WhatsApp dan sebagainya.

Katanya, berdasarkan pemantauan yang dilihat, pematuhan SOP cukup baik. "Kita menghantar 28 anggota termasuk bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di kawasan Kuil Sri Subramaniam, di sini malam tadi bagi memastikan tidak ada perlanggaran SOP di sini.

"Selain itu, tidak mungkin berlaku kehadiran pengunjung dari luar daerah disebabkan sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan di sempadan daerah menyukarkan orang ramai untuk merentas daerah tanpa kebenaran," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 10:29am
d