mutakhir

Wang simpanan lesap ditipu sindiket menyamar polis

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Ingin membersihkan nama kononnya terbabit dengan kes jenayah mengakibatkan seorang suri rumah kerugian RM18,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar polis.

Mangsa wanita berusia 50 tahun dari Sungai Dua, di sini menerima panggilan telefon baru-baru ini daripada individu yang mendakwa dirinya wakil syarikat Pos Malaysia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata individu itu bertanyakan kepada mangsa sama ada dia ada menghantar bungkusan mengandungi lapan keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik individu lain berikutan terdapat maklumat mengenai mangsa pada borang penghantaran.

"Mangsa menafikan hal itu sebelum panggilannya disambungkan kepada individu lain yang mengaku kononnya seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Seremban.

"Polis itu kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa hasil semakan kad pengenalan mangsa mendapati dia ada terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan penipuan wang haram hingga menyebabkan mangsa ketakutan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, polis itu menawarkan kepada mangsa untuk membuat rayuan berhubung kes terbabit namun perlu membuat bayaran berjumlah RM30,000.

"Bagaimanapun mangsa memberitahu bahawa di dalam akaunnya hanya ada RM18,000 iaitu duit simpanannya bersama suami.

"Mangsa dijanjikan bahawa wang itu akan dikembalikan semula selepas siasatan selesai dan menyebabkan mangsa memasukkan kesemua wang di dalam akaunnya ke dalam dua akaun yang diberikan suspek.

"Wanita itu sedar ditipu selepas dia tidak lagi menerima sebarang panggilan telefon lalu membuat laporan polis semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 2:35pm
d