mutakhir

Tindakan tegas tangani kluster tempat kerja

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Gunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengetatkan penguatkuasaan dan pemantauan di tempat kerja.

Itu saranan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia bagi menangani lonjakan kes di tempat kerja yang semakin membimbangkan.

Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihak berkuasa perlu tingkatkan lagi pemantauan dan bertindak pantas menutup operasi walaupun kes masih terkawal.

"Kerajaan ada pilihan sama ada ambil tindakan tegas atau biarkan mereka terus beroperasi tetapi nanti satu negeri atau satu negara terjejas kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun ada satu kes saja, tutup dulu buat saringan jangan tunggu sampai kes banyak.

"Memang semua ini kos tinggi dan makan masa tetapi itu saja caranya daripada berpanjangan macam sekarang ," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, majikan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) beroperasi dalam norma baharu perlu dikenakan tindakan tegas bagi memberi pengajaran.

"Penularan kes di tempat kerja ini bukan baru pertama kali berlaku kerana faktor majikan yang pentingkan keuntungan hingga tidak peduli isu kesihatan pekerjanya.

"Ada juga yang berani menjalankan operasi seperti biasa tanpa mengikut SOP ditetapkan selain membiarkan pekerja tinggal bersesak di kediaman sempit.

"Jadi kawal dan kuatkuasakan betul-betul pastikan majikan patuh SOP sama ada di tempat kerja mahupun kediaman pekerja mereka," katanya.

Semalam, penularan Covid-19 di tempat kerja menjadi penyumbang kepada 978 kes baharu daripada 15 kluster yang direkodkan.

Kluster berkenaan membabitkan enam di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga di Selangor selain masing-masing satu di Sabah dan Perak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 3:38pm
    d