mutakhir

10 notis terhadap peniaga gajet di Terengganu

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan 10 notis terhadap peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik kerana disyaki menaikkan harga barangan.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata, notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga di Kuala Terengganu (dua), Kemaman (tiga), Besut (tiga) dan Dungun (dua).

Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 itu dilakukan secara menyeluruh membabitkan peniaga di seluruh negeri yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit.

"Notis berkenaan mewajibkan peniaga memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut, sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

"Peniaga berkenaan diberi tempoh dua hari untuk membekalkan semua maklumat itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan mulai 26 Januari lalu sehingga 8 Februari depan bagi membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan.

"Peniaga yang ingkar akan berhadapan dengan tindakan tegas dan orang ramai diminta mengemukakan sebarang aduan melalui pelbagai saluran termasuk portal, talian hotline, emel, aplikasi telefon, media sosial atau terus ke pejabat KPDNHEP," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 6:30pm
d