mutakhir

Orang Asli Kampung Chang Lama larang orang luar masuk

Oleh Rosman Shamsudin

Bidor: Penduduk orang Asli Kampung Chang Lama, Sungai Gepai di sini, memasang palang buluh dan sepanduk bagi menyekat kemasukan orang luar tanpa urusan ke kampung itu.

Penduduk, Man Badai, 58, berkata memang menjadi tanggungjawabnya mengawal jalan masuk ke kampung itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan.

Katanya, sepanduk dan palang buluh di pintu masuk dibuat sendiri atas inisiatif penduduk kampung apabila PKP dilaksanakan di negeri Perak.

"Kami sendiri pun tidak keluar dari kampung ini kerana takut dijangkiti wabak Covid-19 apatah lagi jika orang luar mahu masuk tanpa urusan ke kampung ini.

" Langkah ini, bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi demi keselamatan penduduk di kampung ini maka orang luar perlu akur," katanya.

Menurutnya, ia berikutan penduduk bimbang dengan penularan wabak pandemik Covid-19 dan mahu menjaga keselamatan semua.

"Hanya orang luar yang mempunyai urusan tertentu sahaja dibenarkan masuk ke kampung ini demi menjaga keselamatan penduduk daripada dijangkiti wabak Covid-19.

"Saya berharap orang luar akur dengan keputusan dan tindakan penduduk di sini kerana jika berlaku jangkitan wabak terbabit sudah tentu akan menyusahkan kehidupan kami di sini," katanya ketika ditemui dekat sini.

Katanya, memang ada orang luar sebelum ini diarah berpatah balik kerana gagal beri alasan yang munasabah untuk masuk ke kampung itu.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 6:57pm
d