mutakhir

4 penjual peranti elektronik diberi notis KPDNHEP

Oleh BERNAMA

Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan empat notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada empat premis menjual peranti elektronik seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit sejak Isnin lalu.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, notis berkenaan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan harga kos peranti elektronik berkenaan untuk tujuan analisis,dan peniaga perlu memberi maklumat itu dalam tempoh dua hari selepas menerimanya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan harga barangan peranti elektronik itu munasabah dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

"Kita mengambil maklum situasi semasa berkaitan peningkatan permintaan peralatan elektronik dan komunikasi sejak pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula baru-baru ini.

"Sejak Isnin lalu, KPDNHEP Melaka menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di 10 premis menjual peralatan elektronik untuk kegunaan PdPR dan empat notis dikeluarkan kepada empat premis untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Norena berkata, peniaga iaitu individu boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 mengikut AKHAP 2011 jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pengguna disaran membuat pilihan bijak serta membandingkan harga sebelum melakukan pembelian agar tidak menjadi mangsa kepada peniaga tidak telus.

Menurutnya, KPDNHEP akan meneruskan pemantauan terhadap harga barangan itu agar ia dijual pada harga berpatutan.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 7:10pm
d