mutakhir

Hanya 164 penghantar makanan bermotosikal mendaftar Permai

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Tahap kesedaran dalam kalangan penghantar makanan bermotosikal di Melaka untuk mendaftar di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), masih rendah.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd Razak Omar berkata, ia terbukti apabila hanya 164 berbanding 650 penghantar makanan dan barangan bermotosikal mendaftar dengan pakej bantuan terbabit yang diuruskan pihaknya.

Beliau berkata, kegagalan golongan terbabit untuk mendaftar itu menyebabkan mereka tidak dilindungi sebarang bantuan jika berlaku kemalangan atau kematian ketika menjalankan tugas.

"Pendaftaran dilakukan secara percuma dengan kerajaan membiayai sepenuhnya caruman mereka selama setahun menerusi pelan dua Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung).

"Agak rugi jika mereka tidak mengambil peluang ini yang sudah pasti memberi manfaat berpanjangan kepada mereka serta ahli keluarga mereka kelak jika berlaku bencana ketika bekerja," katanya selepas menerima pendaftaran sekumpulan penghantar makanan dan barangan bermotosikal di Wisma Perkeso Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, terdapat 31 kes tuntutan SPS Lindung yang membabitkan 12 penghantar makanan dan barangan bermotosikal berdaftar dicatatkan di Melaka.

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua kes membabitkan kematian dan meninggalkan balu serta anak kecil masih bersekolah.

"Semua kes kemalangan diterima itu sudah diproses melalui Skim Bencana Pekerjaan manakala waris yang tinggal sudah menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) secara pencen berkala diberikan sepanjang hayat kepada balu dan anak mereka pula akan menerimanya sehingga berusia 21 tahun.

"Sehubungan itu, sebagai institusi menekankan keselamatan sosial, Perkeso berharap semua penghantar bermotosikal belum mendaftar supaya berbuat demikian demi memastikan diri mereka serta keluarga dilindungi kerajaan," katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan berjumlah RM24 juta bagi membiayai caruman penuh di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso menerusi Permai.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 7:39pm
d