mutakhir

Kumpul koleksi cenderahati edisi KMJ

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Hobinya mengumpul pelbagai koleksi cenderahati edisi Kembara Mahkota Johor (KMJ) sedikit sebanyak mengubat kerinduan berikutan penangguhan penganjurannya bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

KMJ yang sinonim dengan institusi Diraja Johor itu memberikan peluang berdamping dengan rakyat sambil meninjau permasalahan rakyat dan pembangunan negeri ini.

"Malah, tiap edisinya dinantikan oleh masyarakat Johor berikutan menjadi peluang keemasan mendapat cenderahati selain bertemu dengan Sultan Ibrahim yang terkenal sebagai Sultan berjiwa rakyat.

Mohd Faiz Ahmad, 38, yang mula berjinak dengan hobi berkenaan sewaktu KMJ dimulakan pada 2001 selepas memiliki koleksi pertamanya iaitu sebuah lencana.

Pemuda berasal dari Segamat, Johor serta kakitangan swasta itu tidak menyangka hobinya berterusan hingga beberapa edisi KMJ kerana sekadar mengumpul untuk suka-suka pada mulanya.

"Saya masih ingat lagi, lencana pertama itu diperoleh daripada petugas KMJ dan saya simpan kerana nampak unik dan jarang ditemui.

"Lebih-lebih lagi lencana berkenaan edisi terhad cenderahati program KMJ, jadi rugi rasanya jika tidak menyimpannya.

"Bermula dengan satu, koleksi saya kemudiannya bertambah dan kini mencecah 20 jenis pelbagai cenderahati antaranya topi, selempang kain, bekas air, lencana, kipas kertas dan buku cenderahati," katanya ditemui di Kampung Lubok Batu di sini, hari ini.

Mohd Faiz berkata, walaupun tidak memiliki semua koleksi yang ada tapi bangga sebagai anak kelahiran Johor bukan mudah untuk mendapatkan edisi terhad itu ada kalanya bekerja tidak dapat bersama di setiap lokasi edisi di sekitar Johor.

"Saya sendiri gembira kerana dapat menambah kenalan sejak aktif dengan hobi berkenaan dan bertukar cenderahati edisi KMJ.

"Sudah pasti berita positif dinantikan tiada lagi penularan Covid-19 dan kemeriahan edisi jelajah KMJ dapat dirasai semula,"katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 8:24pm
d