mutakhir

Mogesh 'luar biasa'

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak muda Malaysia, Mogesh Sababathy bakal mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai finalis, Anugerah Belia Komanwel tahun ini.

Menurut laman web Komanwel (thecommonwealth.org) Mogesh, 23, adalah antara 20 individu muda luar biasa termasuk pencipta, aktivis dan usahawan dari 18 negara yang disenarai pendek.

Projek Mogesh tertumpu kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) Life Below Water.

"Mogesh adalah pengasas bersama Project Ocean Hope, sebuah kumpulan yang diterajui belia yang bertujuan meningkatkan kebolehlihatan isu lautan dan pemuliharaan alam sekitar melalui kempen dan latihan kepimpinan belia.

"Kumpulan ini juga menjalankan projek komuniti pendidikan untuk mengurangkan amalan membuang sampah dan tangkapan ikan yang tidak lestari dan siri webinar celik lautan mengenai pengurusan sisa, yang mencapai lebih 10,000 individu di 15 negara," menurut laman web itu.

Anugerah ini mengiktiraf anak-anak muda Komanwel yang cemerlang iaitu projeknya mengubah kehidupan dalam komuniti mereka dan membantu mencapai SDG.

Lebih 1,000 penyertaan dari 43 negara Komanwel diterima tahun lalu.

Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Mogesh yang berasal dari Kinrara, Puchong, Selangor berkata, dipilih sebagai finalis anugerah berprestij itu bukan kejayaannya seorang, tetapi ia untuk semua anak muda Malaysia yang bersemangat dan telah bekerja keras untuk kelestarian alam sekitar.

"Saya terima berita gembira itu melalui e-mel daripada Komanwel semalam dan saya betul-betul tergamam sebaik membuka e-mel.

"Saya disaran memohon anugerah itu sekitar Oktober tahun lalu oleh Majlis Belia Malaysia, yang mengiktiraf projek kami dan kami telah bekerjasama rapat melalui Project Ocean Hope sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Komanwel kerana mengiktiraf usaha kami. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atas segala sokongan dan galakan yang berterusan serta menyediakan platform kepada kami untuk membangunkan dan menjadikan Projek Ocean Hope menjadi kenyataan," katanya.

Mogesh baru sahaja menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda Biologi Marin dengan kepujian daripada UMT dan kini bekerja sebagai pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sementara menunggu majlis konvokesyen universiti yang tertangguh akibat situasi pandemik sekarang.

Tahun ini, anugerah ini berkembang merangkumi lima rantau, iaitu Afrika, Asia, Caribbean, Eropah dan Kanada serta Pasifik dan finalis teratas dari setiap rantau akan diumumkan sebagai pemenang pada majlis anugerah rasmi yang berlangsung 10 Mac 2021.

Majlis itu akan diadakan secara maya buat julung kalinya berikutan pandemik Covid-19 dan anak muda paling cemerlang dari lima rantau ini akan merangkul Anugerah Belia Komanwel 2021.

Kesemua 20 finalis masing-masing akan menerima piala, sijil dan £1,000 (RM5,538) untuk mengembangkan impak projek mereka. Pemenang peringkat rantau akan menerima £3,000 (RM16,614) dan juara keseluruhan pan-Komanwel akan membawa pulang sejumlah £5,000 (RM27,690).

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 11:10pm
d