mutakhir

Husaini Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baharu

Oleh Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Prof Datuk Dr Husaini Omar dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang baharu, menggantikan Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang bersara wajib pada 10 Januari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu berkuat kuasa Isnin ini (1 Feb) hingga 9 Mac 2023.

"Kementerian percaya berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, Prof Datuk Dr Husaini akan terus melonjakkan prestasi pendidikan tinggi negara selaras hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Husaini, 57, yang memperoleh ijazah kedoktoran Universiti Putra Malaysia (UPM) memulakan kerjaya sebagai jurutera geologi selama lapan tahun sebelum bergelar pensyarah pada 1996 di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019.

Jawatan terakhirnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MQA disandang pada 1 Jun 2020 dan berakhir Ahad.

Sehingga kini, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geologi) Universiti Malaya dan Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom itu sudah menerbitkan 200 bahan jurnal, prosiding, buku, dan laporan teknikal hasil penyelidikan dilaksana.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 11:49am
d