mutakhir

Abot, Rambai bantu pindahkan gajah [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Empat ekor gajah denak digunakan bagi membantu memindahkan lima gajah betina di Kampung Kuala Tiga di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Mohd Khairul Adha Mat Amin berkata, pihaknya hanya membawa keluar dua ekor gajah liar berkenaan terlebih dahulu hari ini iaitu seekor ibu gajah berusia 15 tahun dan anaknya berusia setahun, manakala selebihnya akan dibawa keluar esok.

Menurutnya, dua gajah yang dibawa keluar itu seberat 1.5 tan dan 400 kilogram (kg) dan pihaknya berharap proses pemindahan selebihnya berjalan lancar agar kesemua haiwan ini dibawa ke Taman Negara Kelantan-Terengganu secepat mungkin.

Katanya, empat gajah denak terbabit ialah Abot dan Rambai dibawa dari Pusat Konservasi Kuala Gandah, Pahang serta Suria dan Kaila dari Sungai Deka, Terengganu yang dibawa sebagai 'umpan' untuk memudahkan urusan membawa keluar kelima-lima gajah liar berkenaan.

"Seramai 25 anggota turut terbabit dalam pemindahan itu dan terpaksa meredah laluan sungai sejauh hampir satu kilometer dengan membawa gajah ini untuk diselamatkan.

"Kesemua gajah liar ini adalah sebahagian daripada kumpulan gajah yang terdapat di dalam kawasan Hutan Simpan Sokor Taku di sini, dan kita jangkakan terdapat terdapat hampir 15 ekor gajah dalam populasi terbabit.

"Kumpulan haiwan ini bukan keluar untuk mengancam manusia tetapi bagi mencari makanan susulan kawasan habitat mereka juga terancam dan semakin mengecil susulan aktiviti tertentu," katanya ketika ditemui selepas membantu proses memindahkan gajah itu.

Sebelum ini dilaporkan lima gajah liar betina berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada Selasa lalu kerana berkeliaran di kawasan kebun penduduk sejak November lalu.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Suhaimi Ismail, 44, berkata, dia yang mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada PERHILITAN yang mengambil tindakan memindahkan gajah terbabit selepas didapati mengancam tanaman di kebun dan ladang penduduk.

"Selepas hampir 10 tahun kami tidak menerima 'kunjungan' gajah, haiwan ini tiba-tiba datang ke sini.

"Walaupun kehadiran kumpulan gajah ini membimbangkan penduduk, namun dalam masa yang sama kami teruja melihat sendiri pemindahan gajah oleh pihak PERHILITAN.

"Saya berharap proses memindahkan tiga ekor lagi gajah berjalan lancar dan penduduk kampung akan memberi kerjasama sepenuhnya termasuk melaporkan kepada pihak berwajib dengan segera jika ada menerima kedatangan haiwan terbabit selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 3:46pm
d