mutakhir

25,000 warga Wilayah Persekutuan terima beras percuma

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lebih 25,000 warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima beras percuma bermula 1 Februari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Program MyBeras@Wilayah adalah inisiatif tambahan program MyFood@Wilayah yang diletakkan di bawah cakna kemiskinan selaras dasar Wilayah Prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, program MyBeras@Wilayah bertujuan meringankan beban warga Wilayah Persekutuan terdiri daripada golongan miskin bandar atau B40 yang terjejas pendapatannya akibat Covid-19.

Katanya, jenis bantuan yang akan diberikan ialah satu kampit beras lima kilogram bagi setiap keluarga yang layak.

"Rakyat boleh memohon sumbangan melalui kupon yang boleh diperoleh daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) zon masing-masing seperti yang tertera di laman web www.yayasanwp.org/myberas.

"Kupon yang berlainan warna dan tempoh sah laku yang berbeza akan dikeluarkan setiap minggu bagi mengekang masalah lambakan bekalan beras dan mengelak masalah kesesakan untuk rakyat mendapatkan sumbangan ini pada satu-satu masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata, pihaknya akan mengedar bantuan untuk rakyat melalui MPPWP, tiga kali seminggu iaitu setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang Februari depan.

Bagaimanapun, tempoh agihan sumbangan ini akan dilanjutkan sehingga Jun akan datang sekiranya mendapat lebih banyak sumbangan daripada orang ramai dan badan korporat.

Menurutnya, pemberian sumbangan beras percuma ini akan dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi orang ramai, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat yang mahu memberi sumbangan wang atau sumbangan beras beserta sumbangan barangan keperluan (makanan kering), mereka boleh melakukannya melalui portal yayasanwp.org.my/myberas-penyumbang.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 8:01pm
d