mutakhir

MAIWP peruntuk RM5 juta bantu banjir kepada 4 negeri

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM5 juta kepada mangsa banjir di empat negeri yang terjejas.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Abd Kadir berkata, selain Johor, bantuan turut disalurkan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, setiap negeri akan menerima bantuan membabitkan barangan keperluan seperti dapur memasak, lampin pakai buang dan periuk nasi, termasuk RM250,000 bagi membaik pulih masjid dan surau yang terjejas.

"Penyerahan bantuan mangsa banjir di Johor dan Pahang dibuat serentak bermula hari ini, manakala Terengganu serta Kelantan akan diagihkan pada minggu depan.

"MAIWP dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah turut menyumbang 2,000 kotak makanan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bantuan kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Tinggi dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Halimah berkata, Kota Tinggi terjejas teruk berikutan banjir.

"MAIWP menyalurkan 17 barang keperluan asas kepada mangsa banjir di seluruh Johor.

"Di Kota Tinggi, ada 1,370 mangsa banjir. Bantuan ini juga untuk mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 6:16pm
d