mutakhir

Kelantan, lokasi pertama lawatan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat

Oleh BERNAMA

Pasir Mas: Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang ditubuhkan pada 16 Januari lalu memulakan lawatan ke negeri-negeri hari ini dengan Kelantan menjadi lokasi pertama.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata hari ini mereka meninjau sempadan Malaysia-Thailand di sini bagi melihat keperluan serta langkah yang perlu dilaksanakan dalam mengekang penularan Covid-19 dari luar negara.

Hasil lawatan hari ini akan dibentangkan pada pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri esok, katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat Rantau Panjang di sini.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengadakan lawatan ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Tumpat.

Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat ditubuhkan bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar dan ia dipengerusikan secara bersama oleh Takiyuddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jawatankuasa itu turut dianggotai lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan perisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 12 Januari lalu hingga Ogos tahun ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 6:21pm
d