mutakhir

Identiti pemandu, penumpang maut terjunam dalam tasik dikenal pasti

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Identiti dua mangsa yang lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Biru, Jalan Setia Kuang, dekat sini lewat petang tadi sudah dikenal pasti.

Mangsa pertama yang juga pemandu dikenal pasti sebagai Muhammad Faizal Abu Hassan, 43, beralamat di Pangsapuri Sri Anggerik 1, Bandar Puchong Jaya, Puchong manakala mangsa kedua dikenal pasti sebagai Chong Kha Mun, 35, beralamat di pangsapuri sama.

Difahamkan, Muhammad Faizal adalah seorang pesara polis dan kali terakhir bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, manakala Kha Mun tidak dapat dipastikan pekerjaannya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian jam 6.10 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu mangsa dari arah Kuang hilang kawalan.

"Kereta itu kemudian terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam Tasik Biru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa'aton berkata, kedua-dua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan jam 8.02 malam tadi oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Saksi bebas kejadian sedang dikenal pasti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 0192264650 untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dua maut kereta terjunam dalam Tasik Biru
  • Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 12:14am
    d