mutakhir

[UPDATE] Gaduh rebut kawasan jual dadah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: Dua kumpulan kongsi gelap 'berperang' berebut kawasan jualan dadah di taman perumahan di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras, semalam.

Mereka menggunakan parang panjang dan menyerang antara satu sama lain menyebabkan dua daripadanya cedera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat rebutan kawasan penjualan dadah antara Geng 08 Sg Besi Indah dan Geng 36 Bukit Belimbing, Kajang.

"Susulan itu satu Op cantas dilakukan di mana setakat ini 10 individu sudah ditangkap dan akan direman dalam masa terdekat.

"Kejadian itu juga menyebabkan dua individu cedera dan kini sedang dirawat di hospital serta dalam keadaan stabil. Seksyen 326/128 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan mendapati selepas kejadian terdapat tiga kereta ditinggalkan suspek atau mangsa di tempat kejadian dengan kesan langgar antara satu sama lain.

"Video kejadian berkenaan juga tular di media sosial menunjukkan serangan antara dua kumpulan berkenaan.

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sudah mengenal pasti beberapa individu bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326/128 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Berparang di kawasan perumahan [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 12:27pm
    d