mutakhir

Siasatan ajaran sesat 'Agama Melayu' di peringkat akhir [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Tumpat: Siasatan berhubung agama baharu dikenali sebagai 'Agama Melayu' yang menolak ajaran Islam, kini berada di peringkat akhir dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata sebaik siasatan selesai, pihaknya akan membuat pengumuman.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) untuk menyiasat memandangkan kes berkenaan di Selangor.

"Sekiranya siasatan mendapati wujud penyelewengan ajaran sesat, JAIS akan mengambil tindakan lanjut termasuk proses pendakwaan di mahkamah.

"Bagaimanapun, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat untuk menghukum seseorang individu berdasarkan video yang tular.

"Sebaliknya perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat. Ini kerana soal penyelewengan akidah hanya boleh dinilai pihak tertentu, bukannya semua orang boleh tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan meneliti tindakan sewajarnya berhubung isu agama baharu dikenali sebagai 'Agama Melayu' yang menolak ajaran Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan, berkata sebagai agensi dakwah, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kefahaman, pemurnian akidah dan fikrah.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan perkara berkenaan minggu lalu selepas tular sebuah video sebelum JAIS membuat siasatan.

Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 3:05pm
d