mutakhir

Mayat wanita ditemukan terdampar [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Mayat dipercayai seorang wanita ditemukan terdampar kira-kira enam meter dari pesisir pantai di Kampung Aur Kecil, Pantai Melawi di sini, pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mayat berkenaan ditemukan penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Bachok pada 8 pagi.

Menurutnya, mayat itu dipercayai adalah wanita hasil pemeriksaan ke atas t-shirt dan jaket merah.

"Kita anggarkan mangsa berusia 30-an dan dipercayai meninggal dunia lebih kurang seminggu berdasarkan keadaan fizikalnya yang hampir reput dan tinggal rangka.

"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Yusrizal berkata, siasatan awal forensik juga tidak menemui sebarang kesan jenayah atau senjata di lokasi mayat ditemui.

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, pihak forensik mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengangkat dan membungkus mayat mangsa dengan berhati-hati kerana keadaan mayat yang reput hingga tinggal tengkorak dan sebahagian kaki terbenam ke dalam pasir.

Yusrizal berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan diteruskan.

Katanya, pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya dapat membuat laporan di balai polis berdekatan.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 12:39pm
d