mutakhir

Jabatan Kastam bawa 'untung' RM38.6 bilion

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak RM38.666 bilion hasil dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tempoh tahun 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kutipan itu lebih tinggi berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu berjumlah RM36.305 bilion dengan pencapaian sebanyak 106.5 peratus.

"Sesungguhnya kejayaan ini terus membuktikan keunggulan prestasi dan imej JKDM sebagai antara agensi pemungut hasil utama negara," katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-39 tahun 2021 yang diadakan secara maya tadi.

Menurut Tengku Zafrul, sebagai agensi yang terbabit secara langsung dalam mengawal selia sektor perdagangan rentas sempadan, JKDM wajar memimpin kerjasama bersepadu dalam kalangan agensi di perbatasan demi merancakkan kembali aktiviti pelaburan serta menjamin kelangsungan perniagaan.

"Selain meningkatkan kualiti dan integriti dalam perkhidmatan, warga Kastam juga diseru untuk bersiap siaga dan bersifat dinamik dalam mengadaptasi sebarang perubahan mendatang termasuklah memantapkan penguasaan teknologi serta memperkasa pematuhan amalan norma baharu ke arah memastikan peranan JKDM sentiasa relevan merentas zaman," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dalam kenyataan sempena sambutan itu berkata JKDM berjaya menutup ketirisan hasil negara yang dianggarkan RM5.381 bilion, melepasi sasaran RM2.963 bilion pada tahun lalu.

"Ketirisan hasil itu terdiri daripada cukai daripada aktiviti rampasan, hasil lain seperti cukai yang dipungut semula, penyelesaian Akaun Belum Terima (ABT) meliputi kutipan, remisi, pembatalan serta pelarasan dan bil tuntutan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pematuhan JKDM," katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,104 kes berkaitan rokok direkodkan pada 2020 membabitkan anggaran 894.463 juta batang rokok dengan nilai mencecah RM74.969 juta dan jumlah cukai atau duti terlibat sebanyak RM661.902 juta.

"Jika dibandingkan dengan tahun 2019, ini adalah peningkatan sebanyak 84.41 peratus dari segi bilangan batang rokok yang dirampas, 83.41 peratus peningkatan dalam nilai rampasan rokok dan peningkatan 84.41 peratus bagi duti serta cukai terlibat," katanya.

Bagi kes membabitkan minuman keras dan bir pula, Abdul Latif berkata JKDM merekodkan 738 kes dengan anggaran rampasan sebanyak 1.739 juta liter dan nilai rampasan sebanyak RM22.366 juta serta duti atau cukai sebanyak RM45.243 juta.

Bagi kes membabitkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES), katanya kayu merah adalah antara komoditi terbesar yang dirampas JKDM sepanjang tahun 2020 iaitu sebanyak 24,786 kilogram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM7.8 juta.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 5:08pm
d