mutakhir

Polis masih lengkapkan siasatan kes kematian kanak-kanak

Oleh Amir Mamat

Melaka: Polis masih melengkapkan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Tunggu kita lengkapkan siasatan dan kita rujuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan TPR akan buat keputusan sama ada nak tuduh atau tidak, itu saja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabtu lalu, suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu direman tujuh hari sehingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi.

Dalam kejadian 4 petang Jumaat lalu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan dan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai barangan bukti termasuk senjata digunakan suspek terhadap mangsa, Mohd Sukri berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

"Beri kita masa untuk lengkapkan siasatan dulu," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 7:49pm
d