mutakhir

TH sedia kemudahan JomPAY untuk pendeposit

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian, JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi dengan menyediakan lebih banyak 'touch points' untuk pendepositnya.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata, inisiatif itu dibuat berikutan jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan Internet dan pelbagai saluran dalam talian meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter.

"Sebanyak 28 bank di Malaysia menyediakan kemudahan JomPAY menerusi platform perbankan Internet masing-masing.

"Melalui JomPay, pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada pendepositnya dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah," katanya.

Menurutnya, pendeposit juga dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan Internet sedia ada.

"Tambahan pula, pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma," katanya.

Mustakim berkata, JomPay Biller Code bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Reference 1.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 12:35pm
d