mutakhir

200 pek makanan buat petugas barisan hadapan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyerahkan sumbangan 200 pek makanan termasuk cenderahati, pelitup muka serta cecair pensanitasi tangan bagi menghargai pengorbanan pasukan barisan hadapan, hari ini.

Pek makanan itu diserahkan Ketua Jabatan Pembangunan SPNB, Zahanuddin Kamarudin kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, inisiatif ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat serta keprihatinan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan dalam membantu negara memerangi wabak Covid-19.

Menurutnya, SPNB yakin pengorbanan petugas barisan hadapan dihargai setiap individu dengan sentiasa menjaga jarak fizikal, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menjaga kesihatan diri.

"Selain itu, dengan mengamalkan norma baharu, setiap individu dapat membantu negara mengurangkan kes dan memastikan rantaian Covid-19 dapat dihentikan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, sumbangan itu amat dihargai pihaknya bagi membantu pasukan barisan hadapan yang setiap hari bertugas bagi memastikan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar.

"Saya merakamkan penghargaan kepada SPNB kerana sudi datang menyerahkan sumbangan bagi menghargai kami dan memastikan aspirasi kerajaan dalam mengawal penularan Covid-19 dapat dikawal," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 3:03pm
d