mutakhir

Tiga lokasi bunga Pakma di Kelantan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Jabatan Perhutanan Kelantan mengenal pasti tiga lokasi bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau dikenali sebagai Pakma di negeri ini iaitu di Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing, HSK Ulut Sat, HSK Chabang Tongkat.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, Rafflesia pertama yang dijumpai adalah di HSK Lojing iaitu spesis kerrii dan saiznya lebih besar, manakala di HSK Ulut Sat serta HSK Chabang Tongkat pula dari spesis Cantleyi Solms-Laubach dan saiznya lebih kecil.

"Rafflesia yang dijumpai di HSK Chabang Tongkat mula dikesan oleh kakitangan pejabat hutan jajahan Kelantan Timur pada tahun lalu dan pada 5 Januari lalu, saiz bunga berkenaan berkembang sehingga empat inci (10.1 sentimeter).

"Bunga Rafflesia spesis Cantleyi Solms-Laubach boleh ditemui di hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia, selain terdapat bintil-bintil putih yang halus di kelopak bunganya.

"Lebih menarik apabila disuluh dengan cahaya lampu, ia menyerupai gambar tiga dimensi (3D)," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Rafflesia di HSK Chabang Tongkat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Kelantan, Abdul Wahab Deraman.

Abdul Khalim berkata, pihaknya bercadang menjadikan lokasi penemuan bunga Rafflesia sebagai tarikan baharu bagi peminat biodiversiti selain menarik kedatangan pelancong.

"Bagi memastikan pemuliharaan bunga ini, pegawai kami sentiasa memantau tempat yang menjadi lokasi pertumbuhan bunga Rafflesia dan akan merakam gambar atau video mengenai kitaran hidup Rafflesia bermula dari tarikh ia dijumpai sehinggalah hayatnya tamat.

"Bagaimanapun, bagi pertumbuhan bunga ini, apa yang penting adalah perumahnya iaitu stigma (Tetrastigma Planch) dan jika tidak ada perumah, tidak mungkin kita akan menjumpai Rafflesia di mana-mana lokasi di negeri ini.

"Kebiasaannya bunga Rafflesia ini mengambil masa antara tujuh hingga sembilan hari untuk berkembang sepenuhnya sebelum mati," katanya.

Katanya, pemuliharaan Rafflesia perlu dilakukan termasuk pembabitan masyarakat setempat untukmemastikan kelestarian habitat bunga yang istimewa ini kekal terpelihara.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 5:04pm
d