mutakhir

300 kg ketum dirampas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Sebanyak 300 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM30,000 berjaya dirampas selepas polis marin menahan lima lelaki yang cuba menyeludup tumbuhan berkenaan di Bukit Puteh, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan dilakukan pada 4 petang di Pintu 3 Tembok Sempadan Malaysia-Thailand.

"Pihak kami menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan ketum di sekitar kawasan itu dan pasukan dari Unit Risikan Marin bersama anggota Markas Taktikal Polis (MARTEK) Kuala Perlis dikerahkan untuk meninjau di kawasan itu.

"Apabila kami tiba di kawasan berkenaan, anggota bertugas ternampak dua kereta iaitu dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, risikan mendapati terdapat lima lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an berada di lokasi berkenaan dan sedang leka memunggah bungkusan plastik hitam.

"Melihatkan keadaan berkenaan, anggota kita terus menyerbu ke arah suspek dan menahan mereka," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan selanjutnya mendapati bungkusan plastik hitam itu adalah daun ketum seberat 300 kg.

"Kita percaya bahawa sindiket menyeludup cuba menjadikan kawasan tembok sempadan itu sebagai kawasan untuk menyeludup daun ketum itu ke Thailand," katanya.

Rampasan termasuk kereta dianggarkan bernilai RM80,000 dan kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 8:59am
d