mutakhir

Rujuk mufti elak kekeliruan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Segala kekeliruan atau permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di negara ini seharusnya dirujuk kepada mufti atau Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sekiranya umat Islam merujuk kepada pihak berkuasa segala pandangan yang diberikan lebih tersusun dan diyakini.

"Saya selalu katakan segala pandangan dan buah fikiran yang dikemukakan perlulah diambil daripada mereka yang berkuasa, Pejabat Mufti atau Jabatan Mufti adalah pihak berkuasa yang utama.

"Pihak lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam akan sokong mufti masing-masing.

"Dengan ini pandangan yang dikemukakan itu akan nampak lebih terarah dan tersusun serta diyakini. Kebenaran yang begitu yang kita mahukan. Saya tahu setiap orang ada kelemahannya, namun jawapan rasmi daripada pihak berkuasa itu akan jadi lebih selamat.

"Rujuk mufti sekiranya ada persoalan mengenai hukum hakam, keraguan dan fahaman (agama)," katanya dalam sidang media selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Kelantan, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Agama Melayu yang didakwa disebarkan oleh seorang wanita melalui media sosial, yang tular baru-baru ini.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sebelum ini sudah banyak pandangan mengenai segala permasalahan yang sudah dikemukakan sebagai rujukan.

"Banyak pandangan yang diberikan sebelum ini kami bukukan, ia boleh dirujuk di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan serta JAKIM. Semua (persoalan) itu kita jawab dengan tuntas," katanya.

Dalam pada itu, mengenai tindakan selanjutnya wanita terbabit selepas dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zulkifli berkata beliau belum menerima maklumat lanjut mengenai hal itu namun pihaknya akan menyelesaikan isu berkenaan mengikut proses yang sepatutnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkifli berkata pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

"Jika ditanya sama ada kita akan memanggil Ustaz Ebit Lew untuk bekerjasama dalam memberikan sumbangan, jawapannya adalah tidak. Kita tidak akan memanggil beliau. Namun, dasar kita terbuka serta mengalu-alukan semua NGO dan syarikat untuk bekerjasama dengan kita.

"Kita mensasarkan sumbangan ini dapat diberikan di seluruh Malaysia kepada golongan B40, M40, fakir miskin dan golongan terdesak yang memerlukan bantuan," katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Zulkifli berkata lima lokasi dipilih iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Kampung Jeli, Pekan Tanah Merah dan Pasir Mas yang membabitkan sumbangan sebanyak 31,000 unit dapur memasak, cerek elektrik, kain batik, kain pelekat, telekung, sejadah lampin pakai buang dan barangan makanan.

Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 12:05pm
d