mutakhir

Mayat wanita warga emas ditemukan di ruang tamu

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Mayat wanita warga emas ditemukan di ruang tamu rumahnya di Taman Seri Perak, Jalan Slim, Jelutong di sini, hari ini.

Wanita berusia 70-an itu ditemui oleh pasukan penyelamat dalam keadaan terbaring.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pintu rumah wanita itu berkunci pada 10.12 pagi.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi didapati pintu rumah berkenaan terkunci berkunci dan terdapat mangsa di dalamnya.

"Pasukan penyelamat memecahkan pintu menggunakan peralatan khas dan sebaik pintu dibuka didapati wanita berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta sudah meninggal dunia," katanya.

Mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan polis serta dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 12:53pm
d