mutakhir

Bakar mercun, unggun api halau gajah liar

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Penduduk Kampung Doja, dekat sini terpaksa membuat unggun api di jalan masuk bagi mengelakkan sekumpulan gajah liar memasuki kawasan penempatan penduduk.

Penduduk, Mohd Nazir Jamaludin, 44, berkata selain itu mereka ada kalanya mereka membakar mercun bagi menakut-nakutkan kumpulan gajah liar terbabit.

"Dalam tempoh dua minggu ini, hampir setiap malam kumpulan gajah liar itu berlegar-legar di kebun kelapa sawit dan kebun pisang penduduk berhampiran kampung.

"Kalau dulu ada tiga ekor sahaja gajah liar, tetapi kumpulan itu semakin banyak iaitu sekitar 20 ekor," katanya.
Menurutnya, seramai 15 penduduk bergilir berjaga malam sambil memasang unggun api bagi mengelakkan gajah itu masuk ke kampung itu.

Katanya, pada sekitar 3 atau 4 pagi setiap hari, kedengaran bunyi kumpulan gajah itu memasuki kawasan kebun penduduk untuk memakan pisang dan kelapa sawit.

"Biasanya gajah itu pulang semula ke hutan berhampiran sekitar 6 atau 7 pagi.

"Malah kumpulan gajah itu didapati pergi ke kebun penduduk kampung sebelah iaitu Kampung Kluang dan Kampung Lama Rebus," katanya.

Menurutnya, gajah itu bukan sahaja memakan tanaman pisang dan kelapa sawit, malah turut merosakkan pondok dibina di dalam kebun.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan terhadap masalah berkenaan.

Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 6:18pm
d