mutakhir

Aplikasi khas misi tanam 100 juta pokok

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) membangunkan satu aplikasi khas pada bulan lalu bagi memudahkan pihak jabatan dan individu mengemaskini data jumlah penanaman pokok sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, aplikasi Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang dibangunkan itu memudahkan pihak Jabatan Perhutanan di setiap negeri mengetahui jumlah pokok sudah ditanam.

Katanya, aplikasi itu boleh dimuat turun orang ramai dan mereka hanya perlu memasukkan maklumat dan bilangan pokok ditanam.

"Sehingga semalam, Kelantan menanam 11,206 pokok dan ia jumlah tertinggi direkodkan berbanding negeri lain, setakat ini.

"Bagi menghargai individu yang menanam pokok dalam jumlah banyak sepanjang kempen ini bagi tujuan menghijaukan bumi, pihak kementerian akan memberi insentif kepada mereka," katanya ketika ditemui di Hutan Simpan Kekal (HSK) Chabang Tongkat, di sini, semalam.

Abdul Khalim berkata, sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, pihaknya menyasarkan untuk menanam tiga juta pokok pada setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai kerana pada tahun lalu, lebih 2.4 juta pokok berjaya ditanam di seluruh negeri walaupun pada ketika itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin belum melancarkan kempen berkenaan.

Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 6:54pm
d