mutakhir

Pegawai imigresen, isteri mengaku tidak bersalah rasuah

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Dua pegawai imigresen dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah kerana melepaskan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2, serta penggubahan wang haram antara Februari 2018 hingga November lalu.

Tertuduh Mohd Faizzan Sani, 35 yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen dan Pegawai Imigresen Muhammad Zul Anishaffizie Zakaria, 32, bersama isterinya Harlifarhani Abdul Halim, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mohd Faizzan yang bertugas di Pejabat Operasi Imigresen KLIA 2 didakwa tiga pertuduhan dituduh menerima suapan RM1,000 daripada tiga pembantu imigresen berusia 30 hingga 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan di Aras 1 dan 2 Bahagian Kawalan dan Keselamatan Pejabat Imigresen KLIA 2 bermula November 2019 sehingga November lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama.

Manakala, Muhammad Zul Anishaffizie didakwa atas lapan pertuduhan apabila didapati menerima suapan wang tunai RM310,800 tanpa balasan daripada Puah Thiam Lai, 44, Muhsin Halim, 53, dan Edi Saputra, 38 melalui akaun simpanan bank milik isterinya, Harlifarhani dan seorang wanita lain, Hartini Muhsin, 51.

Justeru, dia yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Bangunan AMC KLIA didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa lapan pertuduhan pilihan menerima suapan dengan nilai sama menerusi akaun simpanan bank isterinya serta Hartini bagi membantu melepaskan warga China dan Indonesia keluar daripada Malaysia.

Justeru, tertuduh didapati melanggar peruntukkan Seksyen 2 (a) Akta SPRM 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa dengan enam pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA) kerana menerima wang berjumlah RM278,700 melalui 86 transaksi daripada tiga individu yang sama.

Harlifarhani pula didakwa dua pertuduhan AMLATFPUAA dengan menerima wang keseluruhan RM32,100 daripada Thiam Lai ke dalam akaun miliknya.

Sehubungan itu, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang lima ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana lebih tinggi mengikut Seksyen 41 (1) (b) AMLATFPUAA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua perbuatan terbabit dilakukan pasangan suami isteri itu di sebuah bank masing-masing di KLIA dan Bandar Baru Ampang bermula Februari 2018 hingga November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Azmir Wan Majid.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul Anishafizzie diikat jamin RM55,000 untuk kesemua pertuduhan dan isterinya pula diikat jamin RM10,000, manakala Mohd Faizzan dengan RM5,000, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 5, 2021 @ 4:32pm
d