mutakhir

Hampir tiga jam padam kebakaran

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir tiga jam bagi memadamkan kebakaran di sebuah premis kitar semula di Jalan Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.30 malam tadi.

"Seramai 45 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Pudu, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sentul dan BBP Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat kebakaran membabitkan longgokan barangan lama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak bomba menggunakan teknik pemadaman operasi yang dilakukan secara 'offensive' dan 'defensive' untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

"Kemusnahan akibat kebakaran itu dianggarkan 80 peratus. Api berjaya dikawal jam 10.50 malam sebelum padam sepenuhnya jam 11.09 malam.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2021 @ 11:40pm
d