mutakhir

Mohamad Shatar CEO MQA baharu

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melantik Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 8 Februari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Profesor Datuk Dr Husaini Omar yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), 1 Februari lalu.

"Saya dan pihak Kementerian Pengajian Tinggi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohammad Shatar atas pelantikan ini.

"Saya yakin beliau akan terus memacu transformasi MQA ke arah pencapaian visi sebagai agensi berautoriti global dalam kelayakan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mohammad Shatar, 54, yang memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Kepimpinan dan Pembangunan Masyarakat daripada University of Missouri di Amerika Syarikat memulakan karier dalam bidang pendidikan di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1994 sebagai tutor sebelum dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan di fakulti yang sama dari 1999 hingga 2004.

Seterusnya beliau dilantik ke jawatan Profesor Madya pada 2008 dan Profesor pada 2013. Dalam tempoh itu, beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dari 2006 hingga 2013.

Beliau kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM pada 15 Mac 2013 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 24 Februari 2017.

Beliau yang juga lulusan Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Perancangan Komuniti dan Wilayah di Iowa State University memiliki kepakaran khusus dalam bidang kepimpinan dan pembangunan komuniti serta menerbitkan lebih 40 buku.

Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 12:44pm
d