mutakhir

Niat bantu rakan tapi rupanya diperdaya scammer

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Pegawai operasi servis kenderaan kerugian RM2,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakannya, Rabu lalu.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 59 tahun menerima mesej di aplikasi WhatsApp dari nombor milik rakannya mahu meminjam wang RM2,000 ketika berada di rumahnya di Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa kemudian membuat pemindahan wang secara dalam talian ke akaun yang diberikan sebanyak RM2,000.

Menurutnya, lelaki itu bertambah curiga apabila diminta memasukkan wang RM3,000 lagi sebelum dia terus menghubungi nombor telefon rakannya.

"Rakannya kemudian memberitahu nombor telefonnya seperti kena 'hack' (digodam) oleh pihak yang tidak diketahui serta WhatsApp juga tidak boleh digunakan lagi.

"Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Gombak untuk tindakan lanjut dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, berikutan itu pihak polis menasihati orang ramai berhati-hati apabila terdapat rakan yang mahu meminjam wang.

"Sila pastikan kesahihan maklumat yang diterima khususnya akaun yang digunakan adalah milik rakan yang dikenali supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Katanya, selain itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai laporan polis menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my semakmule/.

Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 3:31pm
d