mutakhir

Sayu tiada makan besar tapi kesihatan lebih utama [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Warga emas terpaksa menerima hakikat apabila buat pertama kali meraikan Tahun Baru Cina sendirian tanpa makan besar bersama anak, menantu dan lima cucunya, petang Khamis ini.

Wang Fook Seek, 75, dari Kampung Tiong, di sini, yang kematian isteri sejak tujuh tahun lalu mengakui dirinya berasa sayu tetapi mengutamakan kesihatan anak serta cucunya.

Menurutnya, walaupun tanpa anak dan cucu serta tidak mengadakan makan besar seperti kelaziman, tetapi dia tetap menghias rumah sebagai meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, Jumaat depan.

"Saya menghubungi mereka (anak) yang kini menetap di Kuala Lumpur agar tidak pulang kerana bimbang berlaku penularan pandemik Covid-19, yang kini semakin meningkat.

"Mereka mungkin sedih kerana tidak dapat bersama menyambut Tahun Baharu Cina, tetapi saya nasihatkan tidak melanggar peraturan ditetapkan kerajaan, termasuk tidak merentas negeri tanpa kebenaran," katanya.

Wang yang juga Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Jurufoto Malaysia berkata, dia juga menghantar angpau untuk menggunakan perkhidmatan kurier.

"Walaupun duit itu boleh dimasukkan ke akaun bank mereka, tetapi cucu lebih suka wang berkenaan dimasukkan ke dalam sampul berwarna merah dan saya akan penuhi permintaan mereka.

"Saya cuma memasak ala kadar untuk makan besar pada petang sambutan Tahun Baru Cina dan akan berkongsi melalui panggilan video bersama anak, menantu dan cucu," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 4:12pm
d