mutakhir

Lebih 6.4 juta ujian saringan Covid-19 sudah dilaksanakan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebanyak 6.4 juta ujian saringan Covid-19 menggunakan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Ujian Rapid Antigen (RTK-AG) dilaksanakan sehingga Jumaat lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ujian untuk tahun ini saja meningkat disebabkan saringan yang perlu dilaksanakan majikan kepada pekerja bersasar.

"Jumlah RT-PCR sepanjang tahun lalu saja mencecah 3,332,554 dengan kadar positif 4 peratus. Pada 2021 (tahun ini), jumlah RT-PCR ialah 1,188,284 dengan kadar kes positif 9.96 peratus.

"Ini satu jumlah tinggi untuk tempoh sebulan lima hari manakala ujian menggunakan RTK-AG sehingga kini pula berjumlah 1,893,727 sudah dilakukan," katanya berkongsi perkembangan terkini jumlah saringan Covid-19 di Balai Komuniti Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap ujian saringan berkenaan bagi mengesan, menguji dan mengasingkan kes bergejala mahupun tidak dengan pantas.

"Bagi kes bergejala kita letakkan di hospital dan dirawat. Seperti diumumkan baru-baru ini, Pusat Penilaian Covid-19 ditubuhkan untuk memantau kes tidak bergejala yang perlu kita beri perhatian sama ada dibenarkan isolasi di rumah mahupun ke hospital.

"Malah, kita juga menerima maklum dengan adanya arahan kerajaan untuk majikan dan pengusaha melaksanakan ujian bersasar kepada pekerja mereka, kita dapati ada peningkatan jumlah kes yang perlu dikesan, diasing dan dirawat cepat.

"Selain itu, kadar kesembuhan kita sudah pun semakin meningkat dengan baik dan kita yakin segala bentuk pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 4:19pm
    d