mutakhir

Curi 1,000 tong gas memasak sebulan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seleweng gas petroleum cecair (LPG) subsidi memasak secara besar-besaran untuk digunakan bagi memproses sarung tangan getah.

Itu tindakan pemilik sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Kampung Assam Jawa, di sini, yang dikesan melakukan perbuatan itu sejak enam bulan lalu.

Difahamkan kilang itu mendapatkan bekalan LPG subsidi dari sebuah syarikat pembekal berlesen di Cheras, Kuala Lumpur hingga mencecah 1,000 tong setiap bulan.

Bagaimanapun, kegiatan berkenaan dapat dikesan sebelum sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Selangor menyerbu kilang itu pada jam 3.30 petang semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, soal siasat terhadap seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga pemilik syarikat mendakwa kilang itu beroperasi sejak sembilan bulan lalu dan mula menggunakan gas LPG sejak enam bulan lalu.

"Lelaki itu mendakwa ia berikutan faktor harga yang lebih murah berbanding gas LPG industri," katanya tadi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui 166 tong LPG mengandungi gas cecair manakala 159 tong lagi didapati kosong.

"Nilai rampasan bagi LPG dirampas berjumlah kira-kira RM45,000 manakala lori yang disita bernilai RM 30,000," katanya.

Beliau berkata, kerajaan kehilangan hampir RM200,000 nilai subsidi susulan daripada aktiviti penyelewengan yang dilakukan kilang itu.

"Kerajaan kehilangan nilai subsidi hampir RM200,000 kesan daripada aktiviti penyelewengan kilang berkenaan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 5:20pm
d