mutakhir

Terima kasih Menteri Kewangan jenguk kampung kami

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Seramai 60 nelayan pesisir pantai di Bagan Nakhoda Omar (BNO) berharap ada khabar gembira susulan lawatan kerja Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Jeti Nelayan Kampung Simpang Empat, BNO, di sini, tadi.

Ia berikutan lantai jeti berkenaan uzur dan usang manakala sebahagian daripada jeti konkrit dibina Jabatan Perikanan pada 2012 pula roboh, Januari tahun lalu.

Ketua Komuniti Nelayan Simpang Empat BNO, Mohd Fadli Rusni, 42, berkata, pihaknya berharap jeti yang dibina sejak 1984 itu dinaik taraf bagi memudahkan urusan nelayan dan pengusaha ladang kerang.

"Beliau (Tengku Zafrul) meluangkan masa kira-kira 10 minit mendengar keluhan nelayan supaya jeti ini dibaik pulih.

"Ketika ini, kira-kira 60 nelayan termasuk pengusaha ternakan kerang menggunakan jeti ini untuk mendaratkan hasil laut selain membawa barangan seperti petrol dan alat menangkap ikan," katanya tadi.

Dia berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan nelayan yang menggunakan jeti itu setiap hari.

Dalam pada itu, Mohd Fadli berkata, dia turut memaklumkan kepada Tengku Zafrul mengenai projek ternakan kerang seluas 50 hektar yang diusahakan kira-kira 24 penternak di kawasan itu.

"Penternak di kawasan ini mampu menaikkan 100 tan metrik kerang dewasa bagi setiap lot pada setiap musim.

"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penternak itu sendiri," katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul melakukan lawatan kerja ke 10 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 5:32pm
d