mutakhir

Lebih 300 penduduk bakal berpindah ke rumah baharu

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lebih 300 penduduk penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A di Timur Laut, Pulau Pinang akan berpindah ke rumah baharu mereka yang diberikan percuma oleh UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac).

Menteri Medac Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses pemindahan ini harus dilakukan dengan segera agar penduduk dapat mendiami kediaman lebih selesa dan selamat khususnya ketika pandemik Covid-19 ini.

Katanya, keadaan rumah yang didiami penduduk sekarang sudah usang, maka sepatutnya mereka pindah ke rumah baharu dengan kadar segera.

"Di dalam mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga meminta untuk dipercepatkan pemindahan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan khususnya pada waktu mencabar ini.

"Projek penempatan semula masyarakat ini dilihat sebagai satu usaha membanggakan dalam golongan Bumiputera di Tanjung Tokong untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa, terutama sekali di tengah bandar (Timur Laut) Pulau Pinang yang mana nilai hartanahnya sangat tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, harga hartanah di Pulau Pinang memang di luar kemampuan masyarakat Bumiputera.

"Syabas kepada UDA kerana usaha ini membolehkan mereka memperoleh hartanah di kawasan strategik.

"Secara kasar, harga pasaran seunit Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A ini bernilai sekitar RM400,000," katanya.

Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang mula dibangunkan pada 27 Oktober 2014 adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA dalam membangunkan bandar serta menyediakan penempatan semula bagi masyarakat Bumiputera di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Sejak 1972, UDA menggalas tanggungjawab melaksanakan pembangunan semula dengan membina sebanyak 8,023 unit secara berfasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,455 siap dibina manakala bakinya akan dibina dalam masa terdekat.

Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan oleh UDA Land (North) Sdn Bhd, anak syarikat UDA, menampilkan pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi.

Terdapat lima blok pangsapuri enam tingkat dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit rumah (800 kaki persegi) di lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan di sekitarnya seperti pasar raya Tesco, pusat beli-belah, masjid dan sekolah.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 6:19pm
d