mutakhir

Cubaan seludup benih kerang tumpas

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Jabatan Perikanan Perak mematahkan cubaan menyeludup benih kerang dengan menggunakan trak tunda di Pantai Remis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, turut dirampas 42 guni benih kerang dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM298,800.

Dua lelaki iaitu pemandu dan kelindannya berusia 22 dan 31 tahun turut ditahan.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Perak, Sallehudin Ismail berkata, kegiatan itu terbongkar hasil risikan pihaknya dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM).

Menurutnya, benih kerang itu dipercayai diambil individu tidak bertanggungjawab di Kebun Kerang Lekir untuk diseludup ke Thailand.

"Kami menemui 42 guni benih bernilai RM58,800 yang disembunyikan di ruang kosong di bahagian belakang trak tunda berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat Perikanan Manjung di Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini.

Sallehudin berkata, dalam operasi berasingan di beberapa lokasi di sekitar Pangkor hingga Kuala Bernam, kelmarin dan semalam, pihaknya turut merampas benih kerang bersama peralatan menangkap hasil laut itu dan bubu naga.

"Sebanyak empat guni benih kerang bersama 25 peralatan menangkap kerang iaitu kor bergalah dan kor tangan serta lima sampan dirampas selain tujuh individu tempatan berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan, kelmarin.

"Turut dirampas 303 set bubu naga bersama empat sampan bersama penahanan sembilan nelayan tempatan di empat lokasi berasingan semalam," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM657,930 dan semua individu yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 1:40pm
d