mutakhir

Lelaki dikejar polis dikhuatiri lemas

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi: Seorang lelaki dipercayai lemas, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri selepas terjun ke dalam Sungai Semangar di sini, hari ini ketika dikejar polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, difahamkan dalam kejadian jam 12.24 tengah hari itu, kedua lelaki terbabit terjun ke sungai selepas lori yang dinaiki mereka dikejar polis.

Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan dimaklumkan anggota polis terdapat dua lelaki dewasa dipercayai terjun ke sungai itu ketika melarikan diri.

"Maklumat yang diperolehi kenderaan dinaiki kedua-dua lelaki itu dikejar polis dari Kota Tinggi sehingga ke kawasan Semangar dan lori dinaiki mereka kehabisan minyak.

"Kedua-dua lelaki itu dikatakan keluar dari lori dan terjun ke dalam sungai. Polis mengesahkan salah seorang mangsa berjaya berenang ke tebing sungai dan menghilangkan diri manakala seorang mangsa lagi dipercayai lemas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azman, pihaknya melaksanakan operasi mencari dan menyelamat SAR) menggunakan teknik cari di permukaan di lokasi.

Seramai 12 anggota dari BBP Kota Tinggi dibantu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Tebrau terbabit dalam operasi itu.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 6:20pm
d