mutakhir

Suspek kes kartel daging import didakwa esok

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mendakwa suspek terbabit dalam kes kartel daging import yang menggemparkan negara sejak awal Disember lalu, pagi esok.

KPDNHEP Johor malam ini mengeluarkan jemputan rasmi kepada media membuat liputan kes berkenaan yang akan disebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Jemputan itu menyatakan, suspek kes kartel daging berkenaan akan didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Sementara itu, menurut sumber, empat suspek akan didakwa membabitkan kes kartel daging import berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta disita dalam operasi diketuai KPDNHEP itu.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 8:41pm
d