mutakhir

Warganet diminta berhemah dalam memberi komen

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menasihati netizen lebih berhemah ketika memberi komen kepada pemimpin negara di dalam media sosial.

Presiden PINTAR, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, netizen perlu diberi nasihat dan peringatan dalam memberikan komen di media sosial terutama dalam keadaan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kita harus membuat refleksi terhadap pandemik Covid-19 yang mana ia bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi pandemik bersifat global, merentas negara dan dan benua.

"Satu contoh yang ramai dapat perhatikan adalah komen ataupun cercaan seorang netizen terhadap lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Indonesia di atas jemputan Presiden Republik Indonesia yang berlangsung pada 4 hingga 5 Februari yang lalu.

"Lawatan itu adalah lawatan yang penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia, merangkumi pelbagai perkara utama termasuklah usahasama menangani Covid-19," katanya tadi.

Mohd Roslan berkata, ia bukan lawatan peribadi mahupun untuk bercuti sebaliknya menjalankan tugas negara.

"Sudah tentu menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjalankan tugas sebaiknya demi menjaga nama baik negara ini.

"Pihak pejabat Perdana Menteri juga menjelaskan dengan begitu terperinci sekali mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan lawatan itu di mana ia membabitkan jumlah rombongan yang minimum, menggunakan pesawat kerajaan, ahli rombongan tidak dibenarkan ke tempat-tempat lain, melakukan swab test, kuarantin dan sebagainya yang berkait dengan pencegahan penularan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, malangnya terdapat beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab memberikan komentar yang mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan yang sangat memalukan.

"Komen menggunakan perkataan jelek ini sebenarnya secara langsung menunjukkan tiadanya penghayatan kepada ruku negara kita, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

"Di manakah kesopanan dan kesusilaan itu apabila komen perkataan jelek ini digunakan?

"Contoh lain, terdapat juga netizen yang seakan tidak menghormati Istana Negara apabila dengan beraninya 'menyerang' pentadbiran kerajaan melalui Facebook rasmi Istana Negara," katanya.

Katanya, ini memberi indikasi bahawa mereka tidak menghormati kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.

"Perkara sebegini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara kita dengan kebebasan tanpa batasan yang seakan tidak mempunyai sistem kawalan.

"Kita mahukansemua lapisan masyarakat dapat menjiwai Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan yang

seharusnya menjadi teras utama rakyat negara ini.

"Oleh itu, PINTAR ingin menasihatkan supaya netizen supaya lebih berhemah dan menjaga setiap perkataan yang diungkapkan.

"PINTAR juga menggesa pihak kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai implikasi yang mereka terpaksa hadapi sekiranya tidak mengawal amarah dan emosi terutama ketika memberikan komen dalam laman sosial," katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 3:56pm
d