mutakhir

Senarai 19 Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diumumkan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 19 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Turut dilantik bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif; pakar bedah jantung, Tan Sri Dr Yahya Awang serta Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap.

Pro Canselor Universiti Cyberjaya, Tan Sri Dr R Palan turut dipilih menganggotai jawatankuasa itu bersama bekas Timbalan Pendakwaraya Pejabat Peguam Negara, Datuk Sallehuddin Saidin serta Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pakar kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Andrew Kiyu Dawi Usop; bekas Setiausaha Kerajaan Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman turut tersenarai dalam jawatankuasa itu bersama tujuh ahli parlimen iaitu Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

"Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini," katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 5:01pm
d