mutakhir

6 lelaki disyaki rogol remaja ditahan

Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

Pengkalan Hulu: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 13 tahun pada 6 dan 7 Februari lalu.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 58 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam dan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Februari.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, mereka ditahan susulan laporan yang diterima pihaknya pada jam 2 petang semalam, mendakwa mangsa diperkosa di sebuah rumah di Kampung Simpang Perak, Air Panas dekat sini.

"Mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang daripada suspek melalui WhatsApp pada 5 Februari lalu dan dibawa keluar bersiar-siar sekitar sini pada keesokan harinya, bermula 7.50 malam.

"Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah di kampung berkenaan sebelum mendakwa dirogol oleh empat lelaki di tiga bilik berasingan antara 11 malam 6 Februari dan 3 petang 7 Februari.

"Mangsa mendakwa ditinggalkan bersendirian di tepi Jalan Besar Kampung Tanjong Kala, Gerik, kira-kira 6.30 petang, 7 Februari dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah," katanya di sini, hari ini.

Zulkepli berkata, semua suspek ditahan bersama barang kes dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, hari ini.

Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 9:17pm
d